Bomba Thai gigih kawal kebakaran hutan

Api marak di kawasan hutan di wilayah Nakhon Nayok di timur laut Bangkok. - Foto: AFP
Api marak di kawasan hutan di wilayah Nakhon Nayok di timur laut Bangkok. - Foto: AFP
A
A
A

BANGKOK - Ratusan anggota bomba berhempas pulas mengawal kebakaran hutan di kawasan terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Thailand pada Jumaat ketika negara itu masih bergelut dengan pencemaran udara yang telah menyebabkan lebih 1.7 juta jatuh sakit pada tahun ini.

Kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 800,000 meter persegi kawasan hutan merentasi tiga bukit di wilayah Nakhon Nayok ke timur laut Bangkok yang turut menyaksikan dua daerah diisytiharkan sebagai zon darurat.

Pihak berkuasa mengesahkan api yang semakin marak itu tidak mengancam mana-mana pusat penempatan penduduk, namun ia berada hampir dengan pinggir Taman Negara Khao Yai yang merupakan sebahagian daripada kompleks hutan merentasi sempadan Kemboja yang berada dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pejabat Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk menyelaraskan operasi di lapangan.

"Prayut bersama Menteri Pertahanan sedang mengikuti perkembangan situasi kebakaran hutan di Nakok Nayok tersebut. Beliau menggesa pertubuhan berkaitan untuk bersama-sama mengawal api daripada terus marak," kata jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri.

Difahamkan, kejadian itu bakal menjadi cabaran besar kepada Prayut menjelang Pilihan Raya Umum pada 14 Mei depan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!