Gergasi Merah cari penawar di Cheras
PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menjangkakan misi The Red Giants untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan Derbi Lembah Klang Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya berdepan tentangan sengit tuan rumah.
Malah Cheng Hoe mengakui kedua-dua pasukan dalam misi memburu kemenangan selepas kurang menyerlah dalam perlawanan terakhir masing-masing sebelum ini.
Katanya, keputusan positif di Cheras secara tidak langsung dapat mengubati kekecewaan dijinakkan 0-4 pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 17 Mac lalu.
"Ya, ini bukan derbi Lembah Klang biasa-biasa buat kedua-dua pasukan kerana pastinya Kuala Lumpur kendalian Bojan Hodak mahu memburu kemenangan pertama liga musim ini tambahan pula berdepan Selangor.
"Keputusan positif menentang Kuala Lumpur City amat penting buat Red Giants untuk pasukan bangkit kembali selepas kekalahan kepada JDT sebelum ini.
"Cuma saya harapkan persembahan berkualiti daripada pemain kedua-dua pasukan tanpa sebarang insiden yang menjejaskan momentum perlawanan," katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, pertemuan Selangor dan Kuala Lumpur City dalam dua perlawanan terakhir liga berakhir dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 4 Mac tahun lalu, manakala aksi di Petaling Jaya dinoktahkan 1-1 pada 20 Julai.
Sementara itu, Cheng Hoe percaya Faisal Halim mampu membantu The Red Giants membawa pulang keputusan positif dari Cheras.
Keyakinan Cheng Hoe itu hadir selepas bekas pemain Terengganu FC itu kembali menemui sentuhan gol untuk Harimau Malaya ketika mengalahkan Hong Kong, 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
"Sejujurnya saya gembira apabila Faisal Halim akhirnya berjaya mengakhiri kemarau gol bersama pasukan kebangsaan dan berharap gol itu menjadi motivasi apabila kembali menyarung jersi Selangor.
"Biarpun begitu seperti yang saya nyatakan sebelum ini Faisal tetap menjadi antara penyumbang kepada gerakan dalam menghasilkan gol buat pasukan Selangor," katanya.
Pada masa kata Cheng Hoe, Selangor juga masih dalam proses membentuk keserasian dalam kalangan pemain bagi mewujudkan gandingan mantap.
"Biarpun kita sudah mengharungi lima perlawanan liga, sejujurnya untuk membentuk keserasian dalam kalangan pemain mengambil masa dan itulah yang sedang diusahakan bagi memastikan keputusan positif dalam setiap perlawanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!