Penjawat awam Selangor dapat 'duit raya' sebulan gaji

Amirudin pada Program Iftar Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz pada Jumaat.
Amirudin pada Program Iftar Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam negeri ini akan menerima Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian insentif itu pada tahun ini melibatkan empat kategori dan akan dibayar ke akaun masing-masing selewat-lewatnya pada 21 April.

"Kategori pertama membabitkan bayaran satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Ahli Dewan Negeri serta guru Kafa.

"Kategori kedua pula diberikan sebulan elaun kepada pemimpin masyarakat yang lantik oleh kerajaan negeri merangkumi Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan (Perkampungan Baru/Bagan Tersusun, Ketua Komuniti India), Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan penggerak Belia Selangor (PEBS) serta Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kategori ketiga kepada penggerak masjid (nazir, imam rawatib, siak, bilal) serta guru rakyat (sekolah rendah agama, Kafa dan pra) sebanyak RM500," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Iftar Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Warga Penjawat Awam di Bankuet, Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz pada Jumaat.

Tambah beliau, kategori keempat yang julung kali diperkenalkan membabitkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor yang bergaji pokok RM3,000 dan ke bawah.

"Mereka akan menerima insentif secara one-off sebanyak RM200 termasuk polis, tentera, guru serta jururawat yang penting berkhidmat di Selangor serta mengikut kriteria ditetapkan," katanya.

Ujarnya, anak syarikat yang bukan berorientasi keuntungan atau belum mencapai keuntungan seperti Hijrah dan WBS turut akan diberikan bantuan raya yang akan dibiayai oleh syarikat induk masing-masing.

"Pastikan tiada yang terlepas dan Insya-ALLAH kesemua bayaran ini akan diterima di akaun masing-masing selewatnya 21 April depan.

"Semoga dengan pengumuman ini akan memberikan kelegaan dan menambah semangat menghidupkan Ramadan serta meneruskan momentum membangunkan Selangor bersama-sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!