Jalan kaki dari JB ke Istana Negara tuntut pengeluaran KWSP

Noorazlan (tengah) nekad berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara di ibu negara sejak dua hari lalu. - Foto: TikTok Noorazlan Ismail
Noorazlan (tengah) nekad berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara di ibu negara sejak dua hari lalu. - Foto: TikTok Noorazlan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 49, membuat keputusan nekad untuk berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara di ibu negara sejak dua hari lalu.

Tindakan itu diambil dalam usahanya menggesa kerajaan agar membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Noorazlan menerusi akaun TikToknya turut memaparkan khabar perjalanannya yang kini masuk hari ketiga.

"Assalamualaikum sahabat, saya akan bermula berjalan dari Tol Skudai jika diizinkan sampai Istana Negara untuk memperjuangkan KWSP.

"Kami memerlukan sangat-sangat demi kelangsungan hidup," jelasnya dua hari lalu ketika mula berjalan kaki.

Sepanjang perjalanannya, Noorazlan tidak berputus asa untuk terus berjalan kaki meskipun kakinya melecet akibat berjalan terlalu lama.

Malah ada beberapa kawasan, beliau terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca hujan semata-mata untuk menyampaikan hasratnya itu kepada kerajaan.

Mengikut carian di internet, perjalanan Noorazlan dijangka berjarak sejauh 344 kilometer untuk tiba Istana Negara.

"Minta maaf ada gangguan... saya baru post berkenaan kaki saya dan insan datang membantu, sekarang saya berada di Pagoh, mohon sahabat-sahabat panjangkan doa untuk saya.

"Kemungkinan selepas ini saya tidak dibenarkan menggunakan laluan lebuh raya atas sebab keselamatan. Jangan fikir negatif ya, atas sebab keselamatan diri saya dan pengguna jalan raya lain.

"Jadi saya akur, selepas Pagoh ini saya akan terus perjuangkan misi saya, tapi saya akan gunakan jalan lama," ujarnya pada Khamis ketika berada di Pagoh.

Terbaharu, difahamkan beliau kini berada di Yong Peng, Johor menghala ke ibu negara menggunakan jalan persekutuan.

Cerita mengenai Noorazlan terus tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersimpati dengan tindakannya itu demi kelangsungan hidup keluarganya.

Jelasnya, bekerja sebagai pemandu teksi hanya cukup untuk menampung perbelanjaan keperluan, namun beliau masih berdepan hutang.

Malah kos sara hidup yang makin tinggi dan perbelanjaan persekolahan anak-anak menyebabkannya bertekad untuk membuat tindakan terbabit. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!