Daftar sebelum sertai Program Iftar ala Madinah @Karangkraf

Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf. Gambar kecil: Nik Justin
Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf. Gambar kecil: Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai yang ingin turut serta dalam Program Iftar ala Madinah @Karangkraf perlu membuat pengesahan kehadiran bagi memastikan makanan yang disediakan mencukupi selain mengelak daripada berlaku pembaziran.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pihaknya akan menyediakan makanan mengikut jumlah kehadiran yang didaftarkan setiap hari.

Menurutnya, kunjungan secara walk in akan menimbulkan sedikit masalah kepada pihak urus setia.

“Kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua. Setiap hari kami membuat tempahan mengikut jumlah pengunjung yang berdaftar. Jika mereka datang tanpa berbuat demikian, kami risau makanan yang disediakan itu tidak mencukupi,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, tindakan itu juga akan memberi ketidakadilan kepada individu yang membuat tempahan awal.

“Oleh itu, saya sarankan agar buat pendaftaran terlebih dahulu. Pautan untuk mendaftar mula dibuka pada jam 8 malam dan ditutup 2 petang keesokan harinya.

“Sebelum jam 2 petang hari yang sama mahu berbuka puasa di sini, mereka masih boleh mengisi borang kehadiran,” jelasnya.

Nik Justin turut berkongsi kemeriahan majlis tersebut yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung setiap hari.

“Sangat meriah dan akan memberi pengalaman berbeza kepada mereka yang datang. Dalam minggu pertama puasa ini, kami mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai,” ujarnya.

Individu yang mahu menyertai Iftar Ala Madinah@Karangkraf boleh mengesahkan kehadiran di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScXgaP2G9Wpz0KwZKoMisnYuJ6ImFz5wrfff8sAvjImNKx

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!