'Terima kasih sediakan makanan percuma'

Sebahagian mahasiswa yang hadir pada program Iftar ala Madinah @Karangkraf. Gambar kecil dari kiri: Fatin Nur Farhana, Nurul Syahirah, Farah Hanisa, Maizatul Shahida
Sebahagian mahasiswa yang hadir pada program Iftar ala Madinah @Karangkraf. Gambar kecil dari kiri: Fatin Nur Farhana, Nurul Syahirah, Farah Hanisa, Maizatul Shahida
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti mahasiwa universiti mengakui program Iftar ala Madinah @Karangkraf yang menawarkan juadah berbuka puasa secara percuma membantu mengurangkan beban mereka berdepan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farah Hanisa Azmu, 22, berkata, program dianjurkan itu membantu menjimatkan wang perbelanjaan untuk membeli makanan di luar yang dilihat lebih mahal ketika ini.

“Ini kali pertama saya datang ke sini kerana mendapat tahu daripada rakan-rakan sekelas lain yang memaklumkan Karangkraf mengadakan juadah berbuka puasa secara percuma.

“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana membantu menyediakan makanan percuma pada bulan suci Ramadan terutama kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Berkongsi pandangan sama, Nurul Syahirah Faqihah, 22, dari Negeri Sembilan berkata, program Iftar ala Madinah @Karangkraf memberi alternatif kepada pelajar yang ingin berjimat daripada membeli juadah berbuka puasa.

“Masa Ramadan tahun lepas, kita perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM15 hingga RM20 sehari untuk membeli juadah di bazar Ramadan.


Program Iftar ala Madinah @Karangkraf menerima seramai 1,000 pengunjung setiap hari untuk berbuka bersama-sama.
Program Iftar ala Madinah @Karangkraf menerima seramai 1,000 pengunjung setiap hari untuk berbuka bersama-sama.

“Tetapi kali ini (tahun ini) tidak perlu keluarkan duit untuk membeli makanan sekali gus membantu meringankan beban pelajar seperti kami yang tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” ujarnya.

Maizatul Shahida Jamil, 21, dari Pahang pula berkata, program sedemikian mengubat kerinduan kepadanya yang berjauhan dengan keluarga apabila dapat merasai sendiri suasana berbuka secara beramai-ramai.

“Sedih juga sebab tidak dapat balik kampung di Keratong untuk berbuka bersama keluarga namun dengan adanya program seperti ini saya dapat merasai pengalaman berbuka secara beramai-ramai dalam suasana selesa dan makanan yang sedap serta mencukupi.

“Malah ia turut menjimatkan perbelanjaan harian kerana tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak hanya untuk membeli juadah berbuka,” jelasnya.

Seorang lagi pelajar, Fatin Nur Farhana, 22, turut menarik nafas lega kerana dalam keadaan kos sara hidup tinggi ketika ini, program tersebut boleh mengurangkan kos untuk perbelanjaan makanan harian semasa Ramadan.

“Saya mendapat tahu mengenai Iftar ala Madinah yang menyediakan juadah berbuka percuma kepada orang ramai daripada hebahan media sosial.

“Saya memuji usaha murni Karangkraf yang prihatin terhadap golongan memerlukan sekali gus membantu mengurangkan beban pelajar dalam keadaan di mana banyak makanan yang dijual semakin mahal,” katanya.

Program Iftar ala Madinah @Karangkraf bermula sejak 24 Mac lalu hingga 18 April ini dan mampu menampung seramai 1,000 pengunjung setiap hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!