Hasrat guru melancong ke China terkubur
KUANTAN- Hasrat seorang guru untuk melancong ke China lebur apabila pinjaman yang dibuat bagi tujuan itu melalui sebuah syarikat pinjaman wang yang diiklankan melalui Facebook, penghujung Januari lalu rupanya tidak wujud.
Mangsa berusia 26 tahun bukan sahaja tidak mendapat RM55,000 yang dipinjam sebaliknya wang simpanan sendiri RM23,288 lesap akibat ditipu sindiket penipuan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang bertugas di sebuah sekolah menengah di sini tertarik dengan iklan tawaran pinjaman mudah itu lalu mengisi borang permohonan pinjaman yang disertakan melalui iklan tersebut.
Menurutnya, selepas menghantar borang pinjaman, mangsa dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman syarikat dari Pulau Pinang.
“Mangsa bersetuju meminjam RM55,000 bagi tujuan pembelian tiket kapal terbang dan pembiayaan semasa bercuti di China nanti.
“Seperti biasa, suspek menjerat mangsa kononnya pinjaman itu diluluskan dan dia diminta membuat sejumlah bayaran proses sebelum wang tersebut diserahkan,” katanya.
Mohd Wazir berkata, helah sindiket berjaya apabila mangsa membuat bayaran yang diminta melalui 12 transaksi ke sebuah akaun bank atas nama seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM23, 288.
“Mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila wang yang dipinjamkan itu langsung tidak diterima sehingga laporan polis dibuat semalam.
“Kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!