[VIDEO] Pesakit strok hidup berhimpit di rumah usang
RANTAU PANJANG - Seorang pesakit strok terpaksa berhimpit di dalam sebuah rumah kecil yang usang bersama tujuh lagi ahli keluarganya disebabkan kesempitan hidup.
Abdullah Jusoh, 47, yang sebelum ini merupakan tonggak keluarga hilang upaya untuk bekerja selepas diserang penyakit berkenaan sejak sebulan lalu.
Dia yang bekerja sebagai operator kilang mesin padi sebelum ini kini hanya mampu terlantar dan bergantung harap kepada ibu, Sabariah Mohamad, 67, dan empat anak saudara untuk menguruskan kehidupan.
Sabariah berkata, sebelum ini Abdullah yang menyara mereka sekeluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Ujarnya, anak sulung, Mohd Zaki, 49 dan anak lelaki ketiga yang tinggal bersama, hanya bekerja sebagai tukang rumah di mana pendapatan mereka tidak menentu.
"Selain itu, empat lagi cucu berusia 18 hingga 25 tahun juga tinggal bersama kami selepas ibu mereka meninggal dunia.
"Susah senang kami anak beranak hanya di rumah ini yang disewa dengan bayaran RM50 sebulan sejak 17 tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Batu Karang Dalam, di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Sabariah menerima kunjungan aktivis masyarakat, Amran Rahman yang hadir menyampaikan bantuan katil kepada Abdullah.
Menurutnya, beberapa tahun lalu selepas rumah tersebut semakin usang, lantai rapuh dan bumbung bocor, penyewa memberikan mereka tinggal tanpa bayaran.
Ujarnya, selepas Abdullah tidak dapat bekerja, kesemua cucu-cucunya terpaksa bekerja di kedai makan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sabariah memberitahu, disebabkan kesempitan hidup mereka juga mempunyai tunggakan bil elektrik sehingga RM600.
"Saya mempunyai tujuh orang anak dan bukan mereka tidak mahu membantu, tetapi dua lagi anak lelaki hanya mengambil upah memotong rumput manakala dua anak perempuan tidak bekerja dan mengikut suami masing-masing.
"Saya dan arwah suami pernah tinggal di dalam bangsal sebelum dia meninggal pada Ogos lalu kerana rumah ini terlalu sempit untuk keluarga kami," katanya
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Sabariah Mohamad di 03-054-02-047198-4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!