Pondok kebun getah jadi port penagih lepas gian

Seramai 18 lelaki ditahan dalam serbuan itu. Gambar kanan: Sebuah pondok kecil yang dibina di kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas di sini dikesan dijadikan 'port' penagih melepas gian pada Jumaat.
Seramai 18 lelaki ditahan dalam serbuan itu. Gambar kanan: Sebuah pondok kecil yang dibina di kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas di sini dikesan dijadikan 'port' penagih melepas gian pada Jumaat.
A
A
A

TAMPIN - Sebuah pondok kecil yang dibina di kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas di sini dikesan dijadikan 'port' penagih melepas gian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kegiatan itu terbongkar dalam Ops sarang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tampin.

"Seramai 18 lelaki berusia antara 23 tahun hingga 55 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati masing-masing positif Morphine dan Methamphetamine," katanya dalam kenyataan kepada media pada Sabtu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan menemui enam peket dadah jenis heroin seberat 301 gram dan empat peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 51.25 gram.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM10,000.

"Kesemua suspek direman selama empat dan tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah(KPJ) dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Hasil daripada operasi ini polis berjaya memutuskan rangkaian bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Felda Jelai, Gemas di sini," katanya.