Pengambilan khas atasi masalah kekurangan guru

Hui Ying ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 2 Tahun 2023 di SJKC Shang Wu pada Sabtu. - Foto Bernama
Hui Ying ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 2 Tahun 2023 di SJKC Shang Wu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan pengambilan khas guru-guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

"Sekarang kita mengalami masalah kekurangan guru dan pelbagai usaha serta langkah sedang dijalankan oleh KPM untuk mengatasi masalah itu antaranya kami (KPM) dalam rancangan untuk adakan pengambilan khas guru-guru baharu.

"Pengambilan itu akan diumumkan dalam satu atau dua bulan lagi bagi mengatasi masalah kekurangan guru terutama bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 2 Tahun 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, di sini pada Sabtu.

Hui Ying berkata, masalah kekurangan guru itu berlaku di seluruh negara dan bukan hanya negeri tertentu malah turut membabitkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, pameran itu bertujuan menyediakan platform kepada pelajar sekolah menengah khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengetahui dengan lebih mendalam peluang yang disediakan oleh kerajaan dan agensi untuk mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan masing masing.

Katanya, KPM menyeru agar semua pelajar menyertai pameran pendidikan institusi pengajian tinggi awam yang diadakan di empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor untuk meneroka peluang pendidikan yang boleh disertai selepas tamat pendidikan peringkat menengah.

"Menyedari betapa pentingnya kualiti pendidikan, semua lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan peluang yang setara agar masa depan anak-anak kita terjamin dan menjadi aset kepada negara," katanya.

Beliau berkata, pameran-pameran pendidikan seperti itu adalah antara contoh untuk merapatkan lagi jurang pendidikan yang dihadapi oleh komuniti, malah mampu memberi satu ruang komprehensif bagi pelajar menyedari dan menerokai peluang-peluang pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan dalam memberi akses pendidikan yang saksama kepada semua murid.

"KPM juga mengadakan pameran, iklan dan taklimat di sekolah-sekolah untuk galakkan pelajar terus menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas SPM dan STPM, mereka juga boleh pilih bidang vokasional kerana ada banyak pilihan di situ dan saya juga minta ibu bapa serta guru-guru untuk terus beri galakan agar anak-anak kita sambung belajar," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!