4 rumah terbakar, 5 kanak-kanak sempat selamatkan diri
KLANG - Lima kanak-kanak nyaris maut dalam kebakaran melibatkan deretan empat buah rumah dalam kejadian di Lorong Surau Sayyidah Zainab, Kampung Delek Kanan di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.09 pagi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 10.19 pagi.
"Kebakaran memusnahkan empat unit rumah sewa melibatkan satu unit bangunan satu tingkat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan.
"Kejadian dipercayai melibatkan lima kanak-kanak, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.
"Api berjaya dikawal dari merebak pada jam 10.30 pagi," katanya.
Tambah beliau, anggaran kemusnahan rumah itu antara 70 hingga 90 peratus.
"Setakat ini punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!