Tumpahan minyak tak jejaskan kehadiran pelancong

Hazlina (kanan) turut sama turun padang dalam membantu kerja pembersihan tumpahan minyak di persisir Pantai Tanjung Balau.
Hazlina (kanan) turut sama turun padang dalam membantu kerja pembersihan tumpahan minyak di persisir Pantai Tanjung Balau.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tumpahan minyak berlaku di perairan Tanjung Balau yang turut menjejaskan kawasan pesisir pantai peranginan itu tidak menjejaskan kehadiran pelancong luar ke kawasan riadah di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang.

Yang Dipertua PBT Pengerang, Hazlina Jalil berkata, ia berikutan terdapat beberapa pantai-pantai lain yang tidak terjejas di kawasan itu yang boleh dikunjungi orang ramai seperti biasa.

Menurutnya, tambahan pula kawasan Tanjung Balau yang terkesan dengan pencemaran itu kini memang sedang ditutup buat sementara waktu ekoran projek naik taraf dilakukan pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

"Setakat ini insiden tumpahan minyak itu tidak memberi kesan terhadap kehadiran pelancong.

"Tanjung Balau bukan satu-satunya pantai di kawasan ini di mana kita ada pantai Desaru. Kawasan kotor hanya di Tanjung Balau manakala kawasan pantai lain bersih,"katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer yang berlaku di kawasan perairan Tanjung Balau.

Hazlina berkata, PBT Pengerang turut memberikan kerjasama membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerja pembersihan dilakukan setiap hari di mana dibuat secara berkala ketika air surut.

"Biasanya jam 3.30 hingga 5 petang kerja pembersihan dilakukan secara manual. Bagaimanapun kita akan berbincang dengan JAS jika tiada perkembangan besar mungkin kontraktor akan dilantik bagi melakukan kerja pembersihan,"katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak ada menerima sebarang aduan daripada penduduk susulan kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!