Car Food Sahur kembali meriah selepas dihentikan akibat Covid-19

Car Food Sahur di kawasan parkir kenderaan berdekatan Hotel Primula di sini mula dikunjungi ramai selepas tarawih sehingga sekitar jam 3 pagi. Gambar kecil: Fakhrurazi, Nor Asya NatiraSharifuddin dan Amir
Car Food Sahur di kawasan parkir kenderaan berdekatan Hotel Primula di sini mula dikunjungi ramai selepas tarawih sehingga sekitar jam 3 pagi. Gambar kecil: Fakhrurazi, Nor Asya NatiraSharifuddin dan Amir
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Acara jualan berkonsepkan sahur secara santai atau dikenali sebagai Car Food Sahur di Batu Buruk di sini kembali meriah setelah ia dihentikan sementara selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Penganjur Car Food Sahur, Fakhrurazi Zaini berkata, Car Food Sahur 6.0 atau kali keenam yang diadakan selama 23 hari bermula 28 Mac lalu di kawasan parkir kenderaan berdekatan Primula Beach Hotel di sini.

Menurutnya, jualan yang berlangsung setiap hari bermula jam 10 malam hingga 3 pagi itu memperkenalkan konsep baharu iaitu konsep khemah sebagai tarikan untuk pelanggan bersantai dan makan.

"Di sini ada seramai 30 vendor yang turut serta dengan menyediakan sebanyak 75 jenis makanan dan 15 jenis minuman yang pelbagai untuk pilihan pengunjung.

"Kita bersyukur kerana sambutan daripada pengunjung cukup meriah dan amat menggalakkan. Kita jangka terima sehingga 4,000 pengunjung yang datang ke sini pada setiap hari dan tempat ini boleh memuatkan kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada malam Jumaat.

Fakhrurazi berkata, acara jualan itu dianjurkan Kelab Belia Kreatif dan Inovasi (Mandalika) dan Pedalhaus sebagai penaja utama dengan sokongan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Primula Beach Hotel serta sukarelawan Springs.

Antara vendor yang menyertai Car Food Sahur yang diadakan di kawasan parkir kenderaan berdekatan Hotel Primula di Kuala Terengganu.
Antara vendor yang menyertai Car Food Sahur yang diadakan di kawasan parkir kenderaan berdekatan Hotel Primula di Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang peniaga, Nor Asya Natira Hasbi berkata, sambutan Car Food Sahur sangat meriah dan luar biasa lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

"Di sini ada banyak pilihan makanan dan ia berbeza di setiap vendor. Macam saya sendiri ada jual makanan tradisional Terengganu antaranya nasi kuning tong kayu, keropok lekor dan colek.

"Syukurlah rezeki kali ini, makanan yang kita jual semuanya habis termasuk di vendor-vendor lain," katanya yang menjual 12kg nasi kuning dan lebih 1,000 batang keropok lekor sehari.

Sementara itu, seorang pengunjung, Amir Sharifuddin Suhaimi, 34, berkata, dia gemar ke situ untuk melihat keadaan dan suasana orang ramai berkumpul untuk menjamu selera.

"Nok (mahukan) ke suasano (suasana). Suasano (suasana) tu penting, makanan nombor dua.

"Saya suka tengok orang ramai, family (keluarga) datang bawa anak-anak bersantai pad malam minggu. Boleh moreh bersama dengan kawan-kawan.

"Bagi saya, konsep jualan ini boleh diteruskan lagi walaupun bukan bulan puasa," katanya.

Amir Sharifuddin berkata, jualan itu juga memberi peluang kepada individu bujang bekerja untuk mendapatkan makanan ketika bersahur.

"Ada yang bekerja syif malam baru habis kerja dan tak tahu nak bersahur di mana sebab sahur ni kadang-kadang orang bujang ni payah sebab dia tak pandai memasak.

"Jadi kena gi (pergi) kedai, kalau kedai tutup, mereka yang tinggal berdekatan kawasan ini ada pilihan untuk datang ke sini. Jadi tak ada alasan untuk dia tak berpuasa kerana tidak bersahur," ujarnya.

Difahamkan, acara jualan Car Food Sahur bermula dalam kumpulan yang kecil pada 2015 dengan menjadikan bonet dan but kereta sebagai premis jualan di kawasan parkir awam.

Ia menyasarkan penjaja kecil-kecilan dan anak muda yang baru mula berniaga produk makanan mencari rezeki di bulan Ramadan melalui peluang yang disediakan.

Acara itu kemudiannya mendapat sambutan hangat terutama bagi mereka yang mencari juadah bersahur pada awal pagi menyebabkan penganjur perlu menyediakan ruang untuk makan dan minum yang mencukupi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!