Skim pelaburan: Mangsa jangan takut buat laporan polis - MHO
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa 400 mangsa penipuan pelaburan skim saham membabitkan anggaran kerugian RM56 juta untuk membuat laporan polis.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa dipercayai takut untuk membuat laporan polis selepas beberapa ejen ditahan reman termasuk akaun bank dibekukan oleh pihak berkuasa.
"Mangsa tidak perlu takut dan diminta untuk membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan sekali gus memastikan individu terbabit dikenakan tindakan.
"Saya juga hendak perbetulkan pemikiran mereka bahawa individu atau mana-mana pihak tidak mahu membuat laporan, ia adalah satu jenayah di bawah Seksyen 202 kanun keseksaan.
"Ia kerana jika gagal untuk bertindak, maka tertuduh bagi mana-mana kes berhubung sindiket atau penipuan akan dibebaskan (kekurangan bukti dan saksi) dan denda yang dikenakan tidak setimpal," katanya ketika sidang media mangsa penipuan pelaburan saham, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membuat siasatan lebih terperinci berkaitan kes tersebut.
Sementara itu, mangsa, Siti bukan nama sebenar, 47, berkata, dia terpengaruh dengan pemberian dividen sebanyak empat peratus untuk setiap bulan yang dijanjikan oleh ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan yang dikenali sebagai Datuk Khairul.
Jelas tunggal tiga anak, disebabkan itu, dia berani untuk melabur wang simpanan dan pencen Allahyarham suaminya sebanyak RM230,000.
"Menerusi perjanjian dibuat, dalam tempoh satu tahun saya akan dapat semula wang yang dilaburkan itu.
"Selain itu, menambah kepercayaan saya apabila ejen yang dikenali sejak 2016, pernah melakukan pelaburan bersamanya sebelum ini secara langsung meyakinkan diri ini untuk melabur.
"Untuk 10 bulan iaitu dari Februari 2021 hingga November 2021, saya menerima dividen berkenaan sebanyak RM8,000 namun bermula Januari 2022, bayaran tidak diberikan lagi sehingga sekarang," katanya.
Perkara itu turut berlaku kepada Azlin bukan nama sebenar, 43, yang berharap mana-mana pihak khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membantu bagi mendapatkan keadilan sewajarnya untuk mereka.
"Keadaan ini amat mencabar buat saya yang kehilangan suami dan perlu menyara empat orang anak yang masih belajar.
"Saya yakin untuk melabur sebanyak RM165,000 kerana mereka menggunakan syarikat peguam terkenal dan memberi imbuhan pada sambutan hari lahir," ujarnya yang kini bekerja sebagai tukang jahit.
Ejen dan juga mangsa, Ahmad Kamal berkata, dia bertindak untuk membuat laporan polis kerana bimbang individu terbabit melarikan diri
Ujarnya, dia turut melabur sebanyak RM250,000 namun akhirnya kesal apabila wang terbabit hanya dapat semula RM100,000 selepas didesak.
"Bagaimanapun, baki RM150,000 tidak diterima sehingga sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!