Ustaz Wadi perjelas isu mengajar tanpa tauliah di Perlis

Ustaz Wadi Annuar dan laporan Sinar Harian.
Ustaz Wadi Annuar dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menjelaskan tidak pernah dipelawa permohonan tauliah melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis seperti yang dinyatakan dalam sebahagian laporan akhbar pada Jumaat.

Menurut Ustaz Wadi, beliau juga belum pernah mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) berhubung permohonan tauliah tersebut sebelum ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Semoga dengan kenyataan maklum balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul pada malam tersebut dan memperbetulkan semula persepsi negatif yang dilemparkan terhadap saya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ustaz Wadi berkata demikian mengulas laporan akhbar bahawa JAIPs akan memanggilnya kerana didakwa mengajar tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis pada Khamis.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah itu didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang dekat sini, perlu hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April ini.

Menurutnya, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar yang menganjurkan program tersebut juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Dalam hal ini, melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri, pihak berkenaan (Ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan, dipelawa memohon tauliah kerana kita akan nilaikan dahulu, jadi dia mohonlah dahulu tauliah itu.

“Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan, malah semasa dua kali perjumpaan bersama JAIPs juga ditegaskan supaya minta tauliah terlebih dahulu," katanya.

Dalam perkembangan sama, menurut Ustaz Wadi, penganjur memaklumkan bahawa program tersebut bukanlah majlis pengajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat.

Menurutnya, program itu melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan badan bukan kerajaan kelolaannya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Mekah dan Madinah serta beberapa kupasan isu semasa.

"Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian tersebut serta tidak memerlukan tauliah agama negeri," ujar beliau.

Tambahnya, JAIPS telah menghantar surat perintah hadir siasatan agar hadir pada 7 April namun disebabkan kekangan masa dan jadual program yang padat, maka beliau memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan pada 17 April dan diterima oleh pihak berkenaan.

"Saya juga menjunjung perintah Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan tidak pernah mempersendakan peraturan yang dititahkan oleh Raja Perlis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!