Red Giants mampu jadi lebih garang

Pemain Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan gol jaringannya ketika menentang KL City. - Foto Bernama
Pemain Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan gol jaringannya ketika menentang KL City. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan aksi dipamerkan para pemainnya ketika menewaskan Kuala Lumpur (KL) City, 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat bukanlah persembahan terbaik pasukan.

Sebaliknya, beliau berkata, Gergasi Merah belum mencapai tahap sebenar permainan selepas enam perlawanan liga dan percaya masih banyak ruang penambahbaikkan boleh dilakukan.

"Saya rasa kita belum capai lagi tahap yang terbaik. Setiap perlawanan adalah penting untuk kita tambah baik dari segi kualiti individu dan bermain sebagai satu pasukan," katanya.

Dalam perlawanan itu, KL City terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Kipre Tchetche pada minit ke-24 sebelum Selangor bangkit menerusi penalti pemain import Colombia, Ayron Del Valle (m-32) dan Faisal Halim (m-41) untuk mendahului pada separuh masa pertama.

Ayron sekali lagi membuktikan ketajamannya menyumbat gol kedua untuk mengesahkan kemenangan pasukan pada minit ke-54.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kemenangan ke atas KL City itu amat penting untuk menaikkan moral dan keyakinan pasukan.

Malah, bekas pengendali pasukan kebangsaan itu turut memuji kualiti yang dimiliki Ayron yang menjadi nadi kemenangan pasukan.

"Bukan mudah untuk menentang KL City dari segi taktikal kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun kita dibolosi gol awal, tetapi disebabkan semangat melawan, kita mampu bangkit untuk dapatkan kemenangan.

"Kita tahu Ayron memiliki kualiti tersendiri dan berbahaya di depan gol. Cuma dia masih perlukan masa kerana dia menyertai pasukan agak lewat dan bukan mudah untuknya.

"Tetapi dia sentiasa berusaha keras bagi memastikan berada dalam keadaan terbaik dan mana-mana penyerang yang menjaringkan gol pasti akan bertambah yakin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!