Malaysia raih pelaburan RM170 bilion dari China - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tujuh dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia, pada Sabtu. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tujuh dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - [DIKEMASKINI] Malaysia meraih komitmen pelaburan yang tertinggi bernilai RM170 bilion dari China.

Jumlah itu, yang terbesar setakat ini dari China, adalah daripada sejumlah 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

"Kita telah mencapai komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China. Saya perlu berterima kasih kepada para pelabur kerana memberikan kerjasama mereka dan keyakinan terhadap kita.

"Ini adalah acara bersejarah. Ia baik untuk Malaysia dan masa depan," katanya ketika mengumumkan perkara itu pada Forum Perniagaan Malaysia-China, yang dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara, di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri kini pada hari terakhir dalam lawatan tiga hari ke sini untuk meningkatkan hubungan politik dan perdagangan dua hala yang strategik dengan China.

Terdahulu, dalam ucaptama pada forum itu, Anwar menggesa pelabur dan pemimpin perniagaan China untuk memanfaatkan hubungan dua hala yang kukuh dan merebut peluang yang luas ditawarkan oleh kerajaan semasa untuk melabur di Malaysia.

"Saya memberi jaminan bahawa di bawah pengawasan saya, kami akan memastikan kemudahan menjalankan perniagaan dan melaksanakan pelaburan di Malaysia akan berada pada tahap optimum.

"Oleh itu, bina lebih banyak kerjasama dengan syarikat Malaysia, terutamanya dalam sektor strategik untuk memacu hubungan yang lebih baik," katanya.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak US$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan berjumlah US$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Menurut statistik daripada Kementerian Luar Negeri, jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China berjumlah RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama, peningkatan 20.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran syarikat terkemuka China seperti Risen Energy, Huawei, Longi Solar, Bytedance, Jinko Solar, EVE Energy, Alliance Steel, Alibaba Group, Geely Auto Group, Xiamen University dan banyak lagi.

"Menjadi harapan saya agar syarikat-syarikat ini yang melabur di kawasan strategik akan terus mengembangkan operasi mereka dan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan serta kerajaan untuk membina keupayaan baharu, membangunkan industri utama dan mencipta pekerjaan dengan bayaran gaji yang tinggi kepada rakyat Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menjalin kerjasama dengan China untuk mengukuhkan lagi perkongsian sedia ada dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan mengembangkan kerjasama ekonomi dalam bidang pertumbuhan baharu seperti pembangunan hijau dan ekonomi digital.

Menurutnya, di peringkat serantau, Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN lain bagi memastikan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, ACFTA yang telah ditambah baik itu bukan sahaja akan mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan dalam rantau ini tetapi juga mengembangkan manfaat ekonomi dengan kemasukan sektor baharu iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, perlindungan persaingan dan pengguna serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

"Pada masa yang sama, Selat Melaka akan terus kekal bebas dan selamat bagi aliran perdagangan dan ekonomi dan kestabilan antarabangsa.

"Menjadi tanggungjawab moral kita untuk terus mengekalkannya seperti itu," katanya.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran 19 MoU antara syarikat yang terlibat.

Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.

MoU lain yang dimeterai ialah antara Digital Way Group Sdn Bhd, China Silk Road Group Ltd dan China Kairous Capital untuk sama-sama menubuhkan dana digital dan pembangunan Malaysia-China di China dan Malaysia serta satu MoU mengenai cadangan pembangunan loji sisa kepada tenaga di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MoU tersebut melambangkan kepentingan kerjasama antara syarikat dari China dan Malaysia, yang akan membawa limpahan yang besar kepada ekosistem.

"Lawatan ini amat produktif, dan satu langkah ke arah hala tuju yang tepat untuk kita," katanya kepada media Malaysia selepas acara tersebut.

Beliau berkata, kementerian akan memantau MoU itu bagi memastikan komitmen tersebut direalisasikan sepenuhnya.

Selain Tengku Zafrul, delegasi Perdana Menteri ke China turut dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!