World #QuranHour ajak masyarakat baca al-Quran sejam sehari

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

SHAH ALAM - Program World #QuranHour 1444H disifatkan sebagai platform terbaik untuk mengajak masyarakat membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu jam dalam kehidupan seharian.

Qari, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, walau sibuk mana sekalipun namun membaca dan menghayati kandungan al-Quran perlu menjadi amalan setiap individu.

"Saya mengikuti #QuranHour sejak pertama kali dianjurkan dan sememangnya setiap tahun tidak sabar menunggu program ini diadakan kerana menggalakkan orang ramai untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

"Saya juga terpanggil untuk menguar-uarkan bahawa program seperti ini sangat bermanfaat kepada orang ramai khusus generasi muda sekali gus mengajak masyarakat sekurang-kurangnya luangkan masa selama satu jam membaca al-Quran.

"Diharapkan program itu terus membuka hati masyarakat Malaysia dan seluruh dunia untuk menghayati al-Quran dalam kehidupan harian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, keunikan program tersebut adalah terdapat surah tertentu menjadi pilihan untuk dibaca dan dipelajari dalam masa satu jam.

Ujarnya, program berkenaan juga menghimpunkan ramai pencinta al-Quran, qari dan pentadabur dari seluruh negara selain berpeluang bertemu dengan pakar-pakar al-Quran pada program sama.

"Kita harap lebih ramai orang hadir program itu pada 13 April depan untuk bersama bersoladiriti dalam memartabatkan al-Quran," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!