'Syukurlah, dapat ringan beban ibu'

Nur Qaseeh Nasuha (kanan) memilih tudung raya sambil dibantu kakitangan SWM Sdn Bhd.
Nur Qaseeh Nasuha (kanan) memilih tudung raya sambil dibantu kakitangan SWM Sdn Bhd.
A
A
A

SEREMBAN - "Syukurlah dapat sumbangan baju raya tahun ini, dapat juga bantu ringankan beban ibu," kata Nur Qaseeh Nasuha Abdullah, 15.

Remaja berkenaan merupakan antara 16 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim, Piatu dan Miskin Rumah Kasih, Ulu Inas, Kuala Pilah yang berpeluang membeli baju raya sumbangan daripada SWM Environment Sdn Bhd.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua tiga tahun lalu dan sejak itu ibunya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menyara dia dan adiknya yang berusia 13 tahun.

"Selepas ayah tiada, saya tinggal di rumah anak yatim ini bagi ringankan beban ibu. Di sini ada banyak kemudahan.

"Setiap kali nak sambut raya, kami semua berpeluang beli baju raya ihsan pelbagai pihak. Jadi ibu hanya perlu buat persiapan untuk diri dia dan adik saja," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Norlisam (kiri) dan Siti Yusnita (dua dsri kiri) membantu anak yatim memilih baju raya.
Mohd Norlisam (kiri) dan Siti Yusnita (dua dsri kiri) membantu anak yatim memilih baju raya.

Menurutnya, Aidilfitri nanti akan disambut bersama ibu dan adiknya di rumah mereka di Sungai Buloh, Selangor.

Seorang lagi penerima sumbangan, Hamani Wafa Abdullah, 15, turut bersyukur kerana dapat memilih baju raya diminati bersama dua lagi adiknya berusia 12 dan 14 tahun.

"Kalau tiada sumbangan baju raya, mak teh yang menjaga kamilah yang kena belikan semuanya. Kasihan juga sebab anak dia pun ramai.

"Tahun ini anak-anak mak teh pilih tema warna merah jambu dan bajunya dah ada pun. Jadi hari ini saya beli baju warna lain pula, " katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sumbangan tersebut merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat pihaknya setiap kali bulan Ramadan.

Ujarnya, setiap tahun pihaknya akan memilih rumah anak yatim yang berbeza supaya semuanya berpeluang untuk dibantu.

Turut hadir meraikan anak-anak yatim berkenaan ialah Timbalan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Siti Yusnita Mohamad Yusof dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!