Bazar Aidilfitri sesak, orang ramai buat persiapan raya

Kompleks PKNS Shah Alam sesak dengan kehadiran orang ramai yang melakukan persiapan Aidilfitri,
Kompleks PKNS Shah Alam sesak dengan kehadiran orang ramai yang melakukan persiapan Aidilfitri,
A
A
A

SHAH ALAM - Bazar Aidilfitri sekitar bandar raya ini sesak dengan kehadiran orang ramai yang melakukan persiapan selepas tiga tahun menyambut perayaan itu secara sederhana.

Antaranya di Bazar Aidilftiri di Jalan Perbadanan, Seksyen 14, di sini apabila kesesakan lalu lintas bermula sejak tengah hari dengan kehadiran orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu.

Penjawat awam, Faizal Marzuki, 38, berkata, anak-anaknya teruja menyambut Aidilfitri selepas persiapan secara ala kadar dilakukannya sebelum ini kesan pandemik Covid-19.

"Persiapan kali ini berbeza berbanding tiga tahun sebelum, namun perbelanjaan menyediakan persiapan Aidilfitri tetap dilakukan secara berhemah kerana ketika ini harga barang semua naik.

"Harga pakaian juga naik sehingga 50 peratus berbanding tahun-tahun sudah jadi kami memperuntukkan sekitar RM1,500 sahaja untuk kelengkapan hari raya," kata bapa dua anak itu.

Seorang lagi pembeli yang merupakan seorang guru, Zakaria A Rani, 49, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membeli baju raya buat isteri dan dua anaknya di Kompleks PKNS Shah Alam di sini.

"Saya juga berpandangan harga kelengkapan pakaian agak tinggi tahun ini, naik sehingga 50 peratus berbanding sebelum dan kami hanya menyediakan keperluan yang perlu," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang ditemui, Faridah Marzuki, 46, berkata, premisnya mendapat sambutan amat menggalakkan dengan orang ramai mula berpusu-pusu seawal jam 11 pagi untuk membeli pakaian yang ditawarkan dengan pelbagai promosi.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pelanggan akan terus meningkat pada minggu ketiga dan keempat Ramadan ini.

Mengenai harga kelengkapan pakaian dikatakan naik sehingga 50 peratus, Faridah berkata, harga pakaian yang dijual secara dalam talian adalah lebih mahal malah harganya tidak boleh ditawar.

"Kami yang berniaga di bazar Aidilfitri di sini masih menawarkan harga berpatutan dan memberikan potongan sekiranya pengunjung berbelanja lebih, tidak sama kalau beli dalam talian," katanya.

Seorang lagi peniaga mahu dikenali dengan nama Along, 40-an, pula berkata, harga pakaian dijual masih rendah, mengikut harga semasa malah pelanggan boleh mencuba pakaian yang dibeli terlebih dahulu.

"Pelanggan juga berpeluang memilih sendiri pakaian dengan kualiti yang diinginkan dengan harga tawaran serendah RM50 sehingga RM200 sepasang iaitu baju kurung dan baju Melayu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!