Ibu dua anak diuji sekali lagi

Nurhidayah menunjukkan pengesahan dari hospital mengenai sebut harga bagi rawatan menggunakan ubat Keyturda yang keseluruhan bernilai RM68,400.
Nurhidayah menunjukkan pengesahan dari hospital mengenai sebut harga bagi rawatan menggunakan ubat Keyturda yang keseluruhan bernilai RM68,400.
A
A
A

BAKRI - Tidak sampai setahun selesai menjalani rawatan kanser, seorang wanita kini sekali lagi diuji apabila penyakit sama disahkan menyerangnya semula.

Nurhidayah Khalid, 29, berkata, dia gagal membendung kesedihan tatkala dikhabarkan berita itu setelah lapan bulan berpeluang menikmati kehidupan normal.

“Saya ingat saya dah sihat macam dulu. Memang doktor ada maklumkan risiko untuk diserang semula, tapi tak sangka pula secepat ini sebab baru lapan bulan selesai rawatan dan disahkan sembuh.

“Malah kali ini, saya diberitahu mungkin dah tak ada harapan lagi. Tapi, bila terpandang wajah anak-anak yang masih kecil, saya tak ada pilihan lain kecuali perlu kuat untuk lawan penyakit ni,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jeram Masjid, di sini.

Menurutnya, kini dia disahkan menghidap kanser limfoma tahap 3B yang menyebabkan dua kelenjar di leher sebelah kirinya membengkak.

“Masa pertama kali disahkan kanser pada April 2017, saya kerap demam dan letih. Saya dapat tahu saya hidap penyakit ni bila lihat leher di sebelah kanan makin membengkak.

“Sebelum ini memang ada rasa timbulan kecil, tapi ingat masalah biasa di bahagian urat atau otot saja. Namun, tak sangka doktor kata itu adalah kanser limfoma dan perlukan pembedahan segera kerana saiz kelenjar semakin membesar,” katanya.

Nurhidayah berkata, kelenjar sebesar 18cm dibuang dan dia menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 12 sesi sebelum selesai pada awal 2018.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, pada Oktober lalu, saya rasa simptom sama dan melihat leher sebelah kiri mempunyai dua biji kelenjar. Saya segera merujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan terkejut kerana doktor kata ia adalah kanser sama yang menyerang saya dan sudah berada pada tahap tiga.

“Saya rasa hilang semua harapan dan semangat, tapi suami (Mohd Arif Amat Sabilam, 37) tak pernah jemu berikan kekuatan dengan berkongsi kisah-kisah bekas pesakit kanser yang pernah kritikal dan berjaya pulih.

“Saya sebak bila lihat suami bantu jaga dua anak kami (Muhammad Adam Harris, 7, dan Muhammad Afi Harraz,3) tapi merekalah sumber kekuatan saya, saya sedar mereka masih perlukan saya,” katanya.

Katanya, doktor ada mendedahkan rawatan terbaharu iaitu penggunaan ubat Keyturda 10MG, namun kos itu sangat tinggi.

“Rawatan ni masih baru dan setakat ini doktor kata ia menunjukkan hasil positif kepada dua pesakit kanser sebelum ini. Namun, doktor sarankan saya ambil empat botol.

“Sebotol sahaja dah berharga RM17,100 dan jumlah keseluruhan memerlukan RM68,400. Dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori, sukarlah kami nak kumpul sebanyak itu dalam masa singkat. Namun saya bersyukur kerana kelab kanser dan beberapa individu ada menghulurkan sumbangan.

“Sekarang dah berjaya kumpul dalam RM30,000 dan saya masih berusaha kumpul sebahagiannya lagi. Buat masa ini, doktor hanya beri ubat untuk kuatkan antibodi bagi melambatkan pertumbuhan kanser ini,” katanya.

Info:

Orang ramai yang ingin membantu boleh memberikan sumbangan di nombor akaun 1514-182-325-92 Maybank atas nama Nurhidayah Khalid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!