Trump 'terkejut', ikrar lawan kes
NEW YORK - Pasukan undang-undang bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan serangan bertubi-tubi pada Jumaat susulan pendakwaan bersejarah ke atas bilionair hartanah itu yang telah mencalarkan imejnya setelah beliau berhasrat untuk bertanding semula pada tahun depan.
“Campur tangan pilihan raya, mahkamah kanggaru!” menurut pemimpin berusia 76 tahun itu menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.
Trump yang kini berada di kediaman mewahnya di Mar-a-Lago di Florida nyata terkejut dengan dakwaan tersebut dan berikrar mahu melawan habis-habisan kes itu yang mengaitkannya dengan bayaran ‘wang menutup mulut’ berjumlah AS$130,000 (RM573,625) kepada bekas bintang porno, Stormy Daniels.
Trump akan menjalani proses sama termasuk mengambil cap jari dan gambar mugshot di Mahkamah Manhattan pada Selasa sebelum tampil di hadapan hakim, sekali gus menjadi Presiden AS pertama yang berdepan tuduhan jenayah.
“Beliau tidak akan digari,” kata salah seorang peguamnya, Joe Tacopina yang percaya pendakwa raya semestinya tidak akan membiarkan Trump dilayan seperti penjenayah pada Selasa ini.
Menurutnya, kes tersebut yang dikemukakan Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg berdepan cabaran undang-undang yang besar dan Trump tidak akan mengaku bersalah atau menerima perjanjian pengakuan.
Sementara itu, Daniels, 44, yang terlibat skandal seks dengan Trump menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘monumental dan epik’.
Pemilik nama sebenar Stephanie Clifford itu mengakui pernah mengadakan hubungan intim dengan Trump pada 2006, beberapa bulan selepas isterinya, Melania melahirkan anak mereka, Barron.
“Saya bersedia memberi keterangan di mahkamah. Saya tidak takut dan tiada apa yang saya mahu sembunyikan. Saya berharap dapat membongkar apa yang saya tahu kepada umum,” ujarnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!