Pelaburan China pacu Malaysia ke tahap lebih tinggi
KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka menerima rangsangan ekonomi yang besar selepas China mahu meningkatkan pelaburan sebanyak RM170 bilion, kata seorang penganalisis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, memandangkan Malaysia sudah mempunyai hubungan perdagangan yang sangat kukuh dengan China merangkumi aliran pelaburan dalam tenaga hijau dan ekonomi digital, pelaburan baharu ini akan mendorong penciptaan pekerjaan yang meluas membabitkan graduan yang sedang bergelut untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang setimpal.
"Ini akan menjadi rangsangan kepada generasi akan datang dalam mengikuti perubahan global dan arah hala tuju dunia. Adalah penting bagi Malaysia untuk melakukan transformasi ini selepas bergantung kepada industri minyak dan gas serta minyak sawit selama beberapa dekad kerana ekonomi legasi itu tidak memihak kepada dunia era baharu," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penasihat Utama Pacific Research Center of Malaysia, Oh Ei Sun menyuarakan pandangan yang serupa dalam konteks penciptaan pekerjaan dengan harapan bahawa pekerjaan yang akan diwujudkan ini akan melibatkan rakyat tempatan terutamanya dalam sektor teknologi tinggi serta teknologi hijau dan lain-lain.
"Sebaliknya, untuk memastikan komitmen pelaburan ini diteruskan, kita juga perlu memudahkan proses menjalankan perniagaan di Malaysia.
"Sebagai contoh, perniagaan China boleh bergantung harap kepada pusat perkhidmatan sehenti, yang mana mereka tidak perlu pergi ke pejabat kerajaan yang berbeza untuk mendapatkan permit dan lesen.
"Selain itu, apabila China membuka dirinya untuk pelaburan, mereka memastikan infrastruktur seperti akses ke taman perindustrian, jalan raya, air dan elektrik sudah tersedia. Jadi, kita juga perlu memastikan bahawa kita mampu menyediakan fasiliti yang sama kepada mereka.
"Kita perlu memainkan peranan dalam memastikan kemudahan menjalankan perniagaan diwujudkan, sementara itu, mereka juga perlu memenuhi komitmen mereka terhadap kita," kata Oh.
Seorang lagi penganalisis, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, memandangkan China sentiasa menjadi rakan dagang dan pelabur utama Malaysia, sudah tentu pengumuman sedemikian akan mengukuhkan kehadiran mereka dalam industri utama seperti automotif dan infrastruktur rel.
"Berikutan itu, memastikan pemindahan teknologi serta hubungan dengan firma tempatan dalam rantaian bekalan akan menjadi keperluan strategik dalam pembinaan kapasiti bagi pemain tempatan. Jadi secara keseluruhan, ia merupakan satu perkembangan positif untuk ekonomi Malaysia," katanya.
Komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China adalah yang terbesar setakat ini.
Ia datang daripada sejumlah 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.
"Ini amat bersejarah. Ia baik untuk Malaysia dan masa depan," katanya ketika mengumumkan berita itu pada Forum Perniagaan Malaysia-China yang diadakan di Beijing, China awal pada Sabtu, yang dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!