Terengganu lega kembali kutip tiga mata

Liridon (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.
Foto: Bernama
Liridon (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya ketika menundukkan Kelantan United FC 2-1 dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kemenangan berkenaan berjaya menaikkan semula semangat skuad Penyu selepas tewas dua kali berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini.

Beliau berkata, tiga mata yang dikutip di laman sendiri itu amat berharga dalam memperbaiki kedudukan TFC daripada tempat kesembilan ke tangga keenam liga dengan tujuh mata.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain saya untuk tiga mata malam ini (tadi). Mungkin kita boleh jaringkan lebih banyak gol kerana kita cipta banyak peluang.

"Tetapi anda dapat lihat setiap perlawanan sentiasa sama. Ia sukar dan saya berpuas hati dengan dua gol ini," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Pada perlawanan itu, TFC berjaya memperoleh gol hasil jaringan Liridon Krasniqi dan Jordan Mintah. manakala gol Kelantan United disumbangkan oleh Jose Porteria.

Bagaimanapun, Steinbruckner mengingatkan pemain supaya tidak terlalu teruja dengan kemenangan itu dan fokus kepada perlawanan menentang Kelantan FC Selasa depan.

Pengendali Kelantan United, Tomas Trucha pula akur dengan kekalahan tersebut dan fokus terhadap perlawanan menentang Kuching City FC.

"Kami terpaksa menerima keputusan seri dan melihat ke hadapan. Saya harap pemain belajar daripada kekalahan kepada Terengganu ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!