Tiada syarat wajib layak RTG

Hannah melakukan gimik pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan kebangsaan footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong Shah Alam pada Sabtu. Foto: Bernama
Hannah melakukan gimik pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan kebangsaan footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong Shah Alam pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

TIADA sebarang syarat wajib dikenakan ke atas mana-mana atlet negara yang mendapat bantuan dan sokongan menerusi projek Road to Gold (RTG).

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memaklumkan atlet berkenaan tidak diwajibkan untuk menyertai persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam acara sukan diwakilinya.

Hannah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi jaguh profesional negara, Lee Zii Jia yang dipilih menyertai projek RTG akan kembali berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malah, desas-desus itu semakin bertiup kencang apabila Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terbuka untuk menerima semula perseorangan lelaki No. 4 dunia itu.

Namun, Hannah tampil menjelaskan, Jawatankuasa RTG yang dipengerusikannya bersama Mohamad Norza tidak meletakkan syarat tertentu dan atlet yang layak akan mendapat bantuan sepatutnya.

“Saya akan berjumpa dengan Zii Jia minggu depan. Selepas berjumpa dengannya, saya akan maklumkan butiran. Kita mahu pastikan setiap atlet yang ada peluang bantu Malaysia dapatkan emas (Sukan) Olimpik diberikan sokongan mencukupi.

“Dalam bentuk apa bantuan itu, saya akan maklumkan selepas jumpa Zii Jia. Dalam RTG, struktur yang diberikan kepada atlet dikenal pasti dalam bentuk sokongan berbeza antara atlet.

“Kita tidak letakkan syarat layak dapat sokongan mesti sertai persatuan sukan itu. Kita tiada syarat sebegitu,” katanya selepas melancarkan kempen pengumpulan dana pasukan Footgolf Malaysia di Shah Alam pada Sabtu.

Footgolf Malaysia memerlukan peruntukan RM500,000 untuk merealisasikan impian beraksi pada Piala Dunia Footgolf di Orlando, Florida, Amerika Syarikat (AS), dengan Hannah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Mengenai bentuk bantuan dan sokongan kepada atlet tersenarai dalam RTG, Hannah berkata, ia akan diumumkan selepas beliau serta penyelaras projek, Stuart Ramalingam berjumpa dengan atlet terlibat.

Sebelum ini, Mohamad Norza memaklumkan, semua bantuan yang diperlukan atlet termasuk Zii Jia bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 akan disediakan menerusi projek RTG.

Malah, beliau mahu menyelesaikan sebarang isu luar gelanggang melibatkan atlet negara sebelum bermulanya temasya Olimpik Paris yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!