Buruh maut jatuh Sungai Nenggiri

Seorang buruh warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Nenggiri ketika bekerja di lokasi projek hidroelektrik TNB Kampung Star, Gua Musang pada Sabtu. - Foto PDRM
Seorang buruh warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Nenggiri ketika bekerja di lokasi projek hidroelektrik TNB Kampung Star, Gua Musang pada Sabtu. - Foto PDRM
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang buruh warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Nenggiri ketika sedang bekerja di lokasi projek hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kampung Star di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Md Kashem Sikdar, 35.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan 40 minit kemudian selepas berjaya dibawa naik ke darat menggunakan sebuah sampan.

"Keadaan arus sungai yang deras menyebabkan usaha menyelamatkan mangsa sukar dilakukan.

"Semasa kejadian, mangsa dikatakan memakai pakaian dan peralatan keselamatan

semasa bekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, mangsa dikatakan telah terjatuh bersama besi paip berkenaan dan kejadian tersebut sempat dilihat oleh seorang penyelia.

Ujarnya, mangsa yang sudah enam bulan bekerja di tapak pembinaan tersebut tidak mengalami sakit.

Choon Foo memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tidak terdapat unsur-unsur jenayah dalam kejadian terbabit.

“Jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!