Potter faham kekecewaan penyokong Chelsea
JURULATIH Chelsea, Graham Potter memahami kekecewaan dirasai peminat The Blues ketika tewas kepada Aston Villa 0-2 di laman sendiri awal pagi Ahad.
Barisan pemain The Blues diejek penyokong sendiri sejurus berakhir perlawanan di Stamford Bridge.
"Kami dapat rasakan keperitan penyokong. Saya faham apabila pasukan tewas di tempat sendiri. Ia menyebabkan ramai orang kecewa dan marah.
"Tiada siapa menyukainya. Apa jua kritikan yang datang, saya terima," ujar Potter.
Ollie Watkins meletakkan Villa di depan pada minit ke-18 sebelum jaringan John McGinn menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-56.
Di sebalik kekalahan itu, tekanan kian meningkat dan Potter tiada pilihan selain mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
"Saya tidak suka menyalahkan sesiapa. Saya perlu bertanggungjawab," katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Villa mendaki di tangga kesembilan, manakala Chelsea di tempat ke-11 serta kurang lima mata di belakang slot saingan pentas Eropah.
Kekalahan itu mendedahkan ketumpulan jentera serangan Chelsea menerusi 27 percubaan tepat berbanding lima diraih Villa, namun lawan mereka menyempurnakan dua daripadanya.
"Anda boleh lihat berapa banyak kali kami berjaya masuk ke dalam kotak penalti lawan. Ada perkara yang positif tetapi keputusan itu mengecewakan kami," ujar Potter.
Ia adalah kemenangan kelima Villa di tempat lawan sejak Unai Emery menjadi jurulatih pada Oktober.
Mereka ketika ini satu mata di belakang Liverpool di tempat kelapan serta kurang dua mata untuk memburu tiket di saingan Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!