Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta
GOMBAK - Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Utama Bandar Country Home, Rawang, di sini, pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes tersebut pada jam 6.20 pagi.
"Seramai 13 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Morni berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 68 Tahun dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang seorang lelaki anggaran usia 30-an.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah tersepit di bawah kereta.
"Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!