Kemunculan buaya gemparkan penduduk Kampung Sri Paya
JOHOR BAHRU - Kehadiran seekor buaya dalam kawasan lumpur di Kampung Sri Paya, Kulai, di sini, menggemparkan penduduknya.
Ketua Kampung Sri Paya, Zainuddin Daim berkata, kelibat haiwan reptilia itu disedari salah seorang penduduk ketika dia datang untuk melihat keadaan kebun dan lembu peliharaannya.
“Buaya itu ditemui kira-kira jam 10 pagi di kawasan lumpur berhampiran kebun sawit dan ladang lembu salah seorang penduduk di sini.
“Difahamkan, penduduk yang menemui buaya ini hanya sempat melihat ekornya yang terkeluar dari lumpur tersebut, saiznya kami belum pasti,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Zainuddin berkata, penduduk kampung juga sudah melaporkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan dan bomba untuk mengeluarkannya.
“Sekarang kami tengah tunggu bomba datang, kejadian ini memang pelik sebab tidak pernah buaya datang begitu hampir dengan kawasan penduduk,” katanya.
Difahamkan, kedudukan buaya berkenaan ditemui adalah di kawasan tebing berlumpur Sungai Pontian Besar iaitu 20 meter dari kawasan kebun sawit penduduk kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!