Fandi tak salahkan pemain, akur satu mata menentang Kedah

Fandi
Fandi
A
A
A

JARINGAN gol penyamaan Kedah Darul Aman FC pada minit akhir perlawanan agak mengecewakan pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad.

Baginya, Sri Pahang sepatutnya mendapat mata penuh namun peluang itu telah dinafikan lawan dan terpaksa akur dengan hanya satu mata.

Menurutnya, keputusan itu diterima tanpa menyalahkan mana-mana pemain.

"Pada aksi malam ini (Sabtu) pemain kita gagal memanfaatkan banyak peluang terutama pada babak pertama.

"Pada aksi babak kedua, kita ubah formasi dan corak persembahan nampak lebih baik dan berjaya mengawal permainan sebelum memperoleh jaringan gol hasil sepakan penalti yang disempurnakan Stefano Brundo pada minit ke-62.

"Peluang penalti kedua bukan rezeki Pahang apabila tendangan Lucas Silva tersasar," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Sri Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur di sini pada Sabtu.

Fandi berkata, Lukas Silva yang turun buat kali pertama banyak membantu Kpah Sherman di bahagian atas.

"Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, pemain itu telah menunjukkan semangat juang tinggi pada perlawanan malam ini.

"Cuma mungkin dengan ketiadaan kapten pasukan, Sergio Aguero dan Kevin Langbehn Ingreso yang dibelenggu kecederaan menyebabkan bahagian tengah kita agak longgar kerana biasanya kedua pemain ini yang mendominasi," jelasnya.

Beliau berkata, status kecederaan dua pemain itu agak serius dan tidak pasti bila mereka dapat kembali beraksi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nafuzi Mohd Zain berkata, tempo dan rentak permainan ditunjukkan pemainnya ketika menentang Sri Pahang adalah yang terbaik setakat ini.

Mohd Nafuzi
Mohd Nafuzi

Menurutnya, secara keseluruhan semua bahagian bermain dengan baik dan berjaya mendominasi permainan dengan mencipta beberapa peluang, namun penyudahnya agak tumpul terutama pada babak pertama.

"Pemain kita tidak putus asa dari awal permainan sebelum berjaya jaringkan gol penyamaan yang amat penting pada minit akhir.

"Mujur sepakan penalti Sri Pahang yang kedua tersasar, kalau tidak sukar untuk kita menyamakan kedudukan," jelasnya.

Beliau berkata, bermain dengan Sri Pahang bukan perlawanan mudah, namun berpuas hati dengan corak permainan ditunjukkan pemainnya.

"Kita tiada masalah malam ini (Sabtu), pemain mampu bertahan dan mematahkan serangan lawan cuma down sikit lepas Pahang jaringkan gol," katanya.

Pada perlawanan itu Sri Pahang dan Kedah sekadar seri 1-1.

Gol Pahang muncul pada minit ke-62 apabila memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan pemain berjersi 15, Stefano Brundo.

Kedah yang ketinggalan meneruskan asakan dan berjaya mencipta gol penyamaan pada minit ke- 93 masa tambahan hasil rembatan pemain penyerang, Jonathan Dos Reis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!