Pemuda Pas Kelantan gesa semak semula cukai cecair vape

Mohamad Kamal (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
Mohamad Kamal (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan mahu kerajaan menyemak semula pewartaan cukai cecair vape dengan kandungan nikotin yang disifatkan sebagai sejarah 'hitam' buat negara.

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya khuatir perkara tersebut akan memberi kesan langsung kepada anak-anak muda terutama melibatkan soal kesihatan dan moral untuk tempoh jangka panjang.

"Pindaan warta ini membolehkan penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin boleh dijual tanpa sekatan.

"Justeru, atas apa jua kepentingan segera, kerajaan dipohon untuk membuat semakan semula terhadap pengecualian nikotin yang telah diwartakan atau sekurang-kurang ia boleh dibincangkan dalam sidang terbuka seperti Parlimen untuk menilai kesan terhadap rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, walaupun bantahan secara rasmi telah dibuat oleh Persatuan Farmasi Malaysia pada 28 Mac lalu, namun pindaan menggunakan kuasa Menteri Kesihatan tanpa perlu melalui pembentangan di Parlimen dengan alasan cukai disifatkan tidak 'masuk akal'.

Ujarnya, pada masa sama kelulusan ini merencatkan usaha baik kerajaan terdahulu mengekang jumlah perokok melalui kempen Generasi Penamat Merokok (GEG).

"Kerajaan Anwar-Zahid hari ini seolah merencatkan usaha baik dengan kelulusan berpihak kepada kepentingan cukai.

"Sejarah hitam buat negara dan solidariti buat ahli farmasi dan petugas kesihatan," tegasnya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin berkuat kuasa semalam.

Pelaksanaan cukai tersebut diumumkan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!