Angka korban akibat puting beliung di AS meningkat kepada 18

Rumah dan bangunan yang rosak akibat puting beliung dilihat pada Jumaat di Little Rock, Arkansas. - Foto AFP
Rumah dan bangunan yang rosak akibat puting beliung dilihat pada Jumaat di Little Rock, Arkansas. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Angka korban akibat puting beliung yang melanda Amerika Syarikat kini meningkat kepada 18 orang manakala berpuluh-puluh lagi cedera, menurut pegawai pada Sabtu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan lebih 57 puting beliung dikesan dalam tempoh 24 jam lalu meliputi lapan negeri, termasuk Arkansas, Mississippi, Iowa, Tennessee, Illinois dan Wisconsin, lapor Agensi Anadolu.

Puting beliung berkenaan meragut tujuh nyawa di Tennessee, lima di Arkansas, tiga di Indiana, dan masing-masing seorang di Illinois, Mississippi dan Alabama.

Gabenor Arkansas, Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat di tengah-tengah amaran cuaca buruk.

NWS juga mengesahkan bahawa puting beliung yang melanda Little Rock, ibu kota Arkansas adalah EF3 "high-end" dengan angin maksimum dianggarkan pada kelajuan 265 kilometer sejam (164 batu sejam).

NWS mengeluarkan amaran ribut di Tennessee, Kentucky, Alabama, Mississippi, Illinois, Indiana dan Michigan.

Kira-kira 530,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di sebahagian kawasan di AS, termasuk lebih 200,000 di Ohio, menurut 'PowerOutage.us', sebuah laman sesawang yang menjejaki gangguan bekalan elektrik. - Bernama/ Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!