Mohd Shuhaily akan dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur
PUTRAJAYA - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain akan dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) pada Jumaat lepas.
"Perubahan jawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pertukaran beberapa jawatan penting yang diputuskan dalam mesyuarat SPP.
"Pengumuman lanjut melibatkan pertukaran beberapa jawatan Ketua Polis Negeri akan dibuat oleh Urusetia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di Putrajaya, pada Sabtu.
Saifuddin berkata, sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim telah diumumkan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu.
"Justeru SPP telah memutuskan Mohd Shuhaily bagi mengisi jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur," katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay telah diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.
"Pengarah JSJN yang baharu juga akan diumumkan oleh Urusetia PDRM," katanya.
Pada 14 Mac lalu, Urusetia PDRM mengumumkan pelantikan Azmi sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan susulan persaraan wajib penyandang jawatan itu sebelum ini, iaitu Datuk Seri Zaini Jass pada 9 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!