Tubuh jawatankuasa tapi masalah tak selesai - Doktor kontrak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mogok masih akan diteruskan oleh doktor kontrak di serata negara bermula Isnin, meskipun selepas kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak pada Jumaat.

Memetik laporan Astro Awani pada Sabtu, seorang wakil daripada kumpulan di sebalik akaun Instagram @mogokdoktormsia berkata, sudah banyak jawatankuasa dan sesi pertemuan diadakan tetapi masalah tidak lagi diselesaikan.

“Kami dah kecewa dan hilang kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Masalah tidak lagi diselesaikan dengan seramai 83 peratus doktor kontrak tidak diberikan jawatan tetap baru-baru ini,” kata wakil tersebut yang dikenali sebagai Dr Jamal.

Dr Jamal yang mendakwa bekerja sebagai seorang pegawai perubatan kontrak di ibu negara, menganggarkan antara 10,000 dan 13,000 petugas kesihatan dijangka menyertai mogok itu dalam tempoh tiga hari bermula 3 hingga 5 April.

Katanya, petugas kesihatan dari serata negara telah menyatakan minat untuk menyertai mogok itu, kebanyakannya di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar rakyat mendapatkan perkhidmatan di klinik atau hospital swasta sepanjang tempoh tersebut.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.

Justeru, pada 31 Mac, jemaah kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!