334 saman, 29 motosikal disita dalam Ops Tutup

JSPT Kuala Lumpur melakukan Op Tutup di sekitar ibu kota pada Sabtu.
JSPT Kuala Lumpur melakukan Op Tutup di sekitar ibu kota pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 334 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 29 motosikal disita kerana mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) dalam Ops Tutup yang dijalankan di ibu negara.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, Ops Tutup dijalankan berikutan aduan orang awam terdapat ratusan remaja berkumpul dan membuat bising di kawasan KLCC setiap hujung minggu.

"Hasil daripada pemantauan, tindakan Op Tutup telah diambil dan lebih kurang 500 buah motosikal telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 29 motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal," menurut kenyataan berkenaan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, operasi tersebut melibatkan seramai 85 pegawai dan anggota polis JSPT Kuala Lumpur.

"Operasi bermula pada jam 10 malam Sabtu di Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak diikuti Op Tutup di sekitar Jalan Ampang, Jalan P Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng pada jam 1.30 pagi dan berakhir jam 4 pagi," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dua remaja ditahan kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!