10 rumah musnah dalam kebakaran di Labuan
LABUAN - Sejumlah 10 rumah musnah terbakar di dalam satu kejadian yang berlaku di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim pada Sabtu.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.29 petang.
Seramai 23 anggota, empat jentera serta Unit 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dengan bantuan BBP Layangan dan Rancha-Rancha digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal iaitu setinggan. Sebanyak 10 rumah terbakar 100 peratus dan terdapat dua rumah turut terjejas.
"Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya," menurut kenyataan yang dikeluarkan.
"Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran. Operasi ditamatkan pada jam 4.49 petang.
Turut serta dalam operasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Udara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!