Gesa PM transformasi pengurusan BNM
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa campur tangan dan melakukan transformasi pengurusan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran ketidakcekapannya khususnya dalam menangani kes sindiket penipuan antarabangsa.
Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial (SPCAAM), Callistus Antony D'Angelus mendakwa, BNM sudah terlalu lama 'tidur' dalam perjalanan fungsinya.
"Sudah tiba masa bagi Perdana Menteri melantik pemimpin dan teknokrat untuk menerajui BNM, yang akan bertindak seiring dengan agenda reformasi beliau dan tidak menghalang usaha-usaha yang sedang diambilnya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Callistus menjelaskan, sindiket penipuan antarabangsa telah menembusi lima buah bank di Malaysia, di mana laporan mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang pekerja lima bank termasuk juruaudit dan pegawai barisan hadapan memudahkan sindiket dalam membuka akaun bank.
Menurutnya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan menyatakan bahawa lima bank itu tidak disiasat dan tumpuan diberikan ke atas pekerja-pekerja terbabit.
"Tidak dapat dinafikan bahawa individu terbabit perlu disiasat dan didakwa secara jenayah mengikut kesesuaian," ulasnya.
Beliau menegaskan, mengehadkan siasatan hanya ke atas pekerja-pekerja yang terlibat seumpama tindakan menangani gejala dan mengabaikan punca.
"Punca sindiket penipuan antarabangsa boleh menembusi sistem adalah disebabkan oleh pematuhan yang tidak cekap, pengurusan risiko dan mekanisme kawalan bank terbabit.
"BNM harus memainkan peranan secara langsung bagi menyiasat bank dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai. Akauntabiliti harus berada di peringkat tertinggi bank yang terlibat iaitu bermula di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif," tambahnya.
Callistus memberitahu, bank dan sistem kewangan secara keseluruhan adalah penjaga dana awam selain bank turut berfungsi sebagai asas kepada sistem ekonomi mana-mana negara.
"Krisis ekonomi Asia Timur pada akhir 1990-an, Krisis Kewangan Global 2008, dan baru-baru ini kegagalan Silicon Valley dan Signature Banks di Amerika Syarikat (AS) adalah contoh apabila krisis perbankan atau monetari membawa kepada krisis ekonomi.
"Sebenarnya, dalam krisis-krisis seperti ini yang rugi bukanlah bank, tetapi rakyat biasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!