Orang ramai bimbang jika doktor mogok

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai berasa amat bimbang apabila sekumpulan doktor kontrak yang kini berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengancam untuk melancarkan ‘mogok’ di seluruh negara pada esok (Isnin).

Seorang kakitangan swasta, Damia Nursyaza Zulkafli Hashim, 29, berkata, tindakan itu boleh menyebabkan perkhidmatan di klinik kerajaan terjejas.

"Cuba bayangkan kalau ribuan doktor mogok untuk beberapa hari, bagaimana pula dengan pesakit yang dikendalikan mereka. Semua itu perlu difikirkan.

"Namun, saya tidak salahkan doktor, siapa tahan kalau sudah lama bekerja tetapi tidak mendapat jawatan tetap. Mereka juga mempunyai hak yang perlu ditegakkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdapat desas-desus akan berlangsung mogok doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini dan laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai.

Bagi pelajar, Noor Hiedayah Ahmad, 25, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik sebelum kehilangan lebih ramai doktor.

"Jika hospital kerajaan kekurangan doktor, saya pasti ia akan menyusahkan rakyat terutamanya golongan yang tidak berkemampuan. Contohnya, perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

"Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah ini kerana ia melibat kebajikan rakyat," ujarnya.

Tambah Noor Hiedayah, tindakan mogok itu mungkin jalan terakhir bagi doktor kontrak apabila suara dan kehendak mereka tidak didengar.

"Saya percaya sebelum ini mereka sudah mengikut saluran yang betul namun apabila tidak diendahkan oleh kerajaan, jalan terakhir adalah mogok,"katanya.

Sementara itu, Nor Izatul Akmal Mohd Amin, 33, berpendapat, jika perkara itu berterusan, ia bukan sahaja menganggu pihak hospital atau klinik kerajaan tetapi turut membebankan rakyat.

"Sebagai anak, saya mempunyai ibu bapa yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan. Kalau doktor kurang, dikhuatiri akan menjejaskan sesi tersebut.

"Ia akan menganggu jadual urusan kerja kami sebagai perkerja untuk mengambil cuti lain," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!