Balik raya: Tiket bas ke Pantai Timur habis terjual

Tiket bas ekspres ke Pantai Timur habis terlebih dahulu berbanding negeri lain sejak penjualan dibuka di Terminal Meru Raya, Ipoh tiga minggu lalu.
Tiket bas ekspres ke Pantai Timur habis terlebih dahulu berbanding negeri lain sejak penjualan dibuka di Terminal Meru Raya, Ipoh tiga minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Jualan tiket bas ekspres bagi kebanyakan negeri di semenanjung negara sempena balik kampung perayaan Aidilfitri ini laris dan hampir habis dijual di Terminal Meru Raya di sini.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati, tiket bas ekspres ke Pantai Timur habis terlebih dahulu berbanding negeri lain sejak penjualan dibuka, tiga minggu lalu.

Penyelia Operasi Terminal Meru Raya, Aziz Othman berkata, sebahagian besar penumpang bagi perjalanan bas ke Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu membuat tempahan tiket awal menerusi dalam talian.

Menurutnya, terdapat hampir 10 trip disediakan setiap hari bagi perjalanan pulang ke kampung pada 18, 19 dan 20 April ini, namun jumlah itu masih belum cukup memenuhi permintaan orang ramai.

"Untuk Pantai Timur, permintaan sangat tinggi, sampai sekarang orang ramai masih datang cuba mendapatkan tiket balik.

"Negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan Kedah juga mendapat permintaan dan setakat ini, hampir habis terjual," katanya.

Kerani, Shahzira Sulaiman, 30, bersyukur kerana sempat membeli tiket untuk pulang ke Kelantan lebih awal.

Dia membuat tempahan menerusi dalam talian sebelum Ramadan lagi kerana bimbang kehabisan tiket pada saat akhir.

"Selalunya musim perayaan ini, tiket akan cepat habis. Jadi sebagai langkah keselamatan eloklah saya beli awal," katanya.

Muhammad Asyraf Mohd Amdan, 26, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Ipoh sejak tiga tahun lalu memilih menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung.

Katanya, selain mahu berjimat, menggunakan kenderaan awam tidak memenatkan terutama ketika menempuh laluan yang sesak.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, rasa tak sanggup nak tempuh kesesakan. Eloklah naik bas sahaja, tak penat dan boleh tidur sepanjang jalan," katanya yang akan pulang ke Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!