Balik raya: Perantau beli tiket bas sebulan awal

Tinjauan Sinar Harian di TBS mendapati kebanyakan warga kota membeli tiket awal bagi menggelakkan kehabisan di saat akhir.
Tinjauan Sinar Harian di TBS mendapati kebanyakan warga kota membeli tiket awal bagi menggelakkan kehabisan di saat akhir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata anak perantau yang bekerja di sekitar Lembah Klang memilih membeli tiket bas pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri sebulan lebih awal.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati kebanyakan warga kota membeli tiket awal bagi menggelakkan kehabisan di saat akhir.

Nurhasnaa
Nurhasnaa

Pekerja swasta, Nurhasnaa Ramli, 28, berkata, mereka yang bercadang untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan perlu membeli tiket lebih awal berikutan permintaan tinggi dan laris terutama pada musim perayaan.

"Tiket bas dah beli awal bulan lepas lagi, senang nanti.

"Lagipun kalau beli awal, boleh pilih tarikh dan waktu perjalanan yang kita nak.

"Sekarang ini pun tiket ke pantai timur banyak dah habis. Lega saya cuma tunggu 17 April untuk balik beraya di Kelantan," katanya ketika ditemui di TBS yang dalam perjalanan ke kampung untuk Ramadan.

Nazatul
Nazatul

Seorang pelajar, Nazatul Aishah Kamaruzaman, 19, juga berpendapat pembelian tiket bas lebih berbaloi berbanding kereta api.

"Saya beli tiket bas dalam talian untuk pulang pada 15 April ini. Sesiapa yang duduk di Jengka, Pahang memang akan beli tiket awal kerana terhad.

"Tiket kereta api rugi sebab kena turun Jerantut, satu jam ke Jengka. Jadi, pengangkutan bas memang menjadi pilihan," ujarnya.

Sri Rezeki
Sri Rezeki

Bagi pekerja swasta, Sri Rezeki, 36, dia pada awalnya ingin menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) namun tiket telah habis dijual.

Justeru, katanya, bimbang dengan situasi tersebut, dia membuat keputusan untuk membeli tiket bas ekspres supaya tidak berputih mata dan dapat pulang ke kampung halaman.

"Susah untuk dapatkan tiket lebih-lebih lagi dua hari sebelum raya jika beli saat akhir.

"Memang kena cepat sebab kalau lambat memang beraya di Kuala Lumpur," jelasnya.

Asyikin
Asyikin

Sementara itu, pelajar, Asyikin Aziman, 22 berkata, dia masih belum membeli tiket pulang kerana kelas masih berjalan seperti biasa.

"Saya berfikir untuk beli tiket ke Johor, seminggu sebelum raya memandang ketika ini Universiti Kuala Lumpur mula mengadakan kelas dalam talian.

"Tetapi agak merisaukan, mungkin minggu depan saya akan beli tiket balik ke Yong Peng," ujarnya.

Adibah
Adibah

Pelajar, Adibah Rahman, 19, juga mengalami perkara sama susulan tugasan akademik masih belum selesai.

Dia berharap pihak TBS dapat menyediakan bas tambahan bagi mereka yang tidak sempat membeli tiket pada masa sekarang.

"Mungkin dua minggu lagi, saya akan beli tiket. Nak buat macam mana, perlu habiskan tugasan terlebih dahulu.

"Harap ada lagi tiket masa itu kerana di Segamat, Johor cuma ada pengangkutan bas. Kalau kereta api jauh sikit la dari rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!