Pemandu bas guna telefon ketika memandu serah diri

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah mengambil keterangan pemandu bas yang dikesan menggunakan telefon semasa memandu seperti yang terpapar dalam video tular baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, pemandu bas berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki tersebut bebas daripada pengaruh dadah.

"Pemandu bas berkenaan telah diambil tindakan di bawah Rule 17A LN166/59 kerana memandu dengan menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan.

"Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis meminta seorang pemandu bas yang dikesan menggunakan telefon semasa memandu untuk tampil menyerah diri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, tindakan pemandu bas itu boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada penumpang bas tersebut tetapi kepada pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat nombor pendaftaran bas tersebut adalah ALM9815 dan ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!