Penganggur berdepan hukuman mati
JOHOR BAHRU - Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret, atas empat pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, bulan lalu.
Tertuduh, Er Teng Ping, 39, didakwa mengedar dadah jenis serbuk ekstasi seberat 5.204 kilogram (kg) dan kanabis seberat 489 gram di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 21 Mac lepas, sekitar 3.20 petang.
Selain itu, Teng Ping juga didakwa mengedar dadah jenis pil Erimin 5 seberat 36.9 kg dan pil ekstasi seberat 865 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, pada hari yang sama, sekitar 4.15 petang.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.
Teng Ping yang tidak diwakili peguam, juga berdepan dengan dua pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin masing-masing seberat 850 gram dan 53 gram di rumah dan kereta yang sama, pada hari dan masa yang sama.
Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 )(3) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin kemudian menetapkan 15 Mei tahun ini sebagai tarikh sebutan bagi serahan laporan kimia.
Kes dibawa Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!