Kementerian Kewangan jamin tingkat kawalan, peraturan vape
SHAH ALAM - Kementerian Kewangan memberi jaminan untuk memastikan semua peraturan dan kawalan barangan yang melibatkan rokok elektronik dan vape dipertingkatkan bagi mengelakkan ketirisan hasil negara.
“Malah, seperti yang telah dijanjikan dalam pengumuman Belanjawan 2023, separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Jelas kenyataan itu, semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
“Langkah ini membolehkan kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion dan pada masa yang sama menyokong usaha untuk tidak menggalakkan penggunaan vape,” ujarnya.
Susulan itu, KKM telah mengambil tindakan mengecualikan cecair atau gel mengandungi nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 melalui pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023.
“KKM juga akan membentangkan Rang Undang-Undang baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.
“Selari dengan ini, Kementerian Kewangan akan melaksanakan pengenaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
“Ekoran daripada itu, duti eksais vape berkuat kuasa 1 April 2023, melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar 40 sen akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape,” jelas kementerian itu.
Sehubungan itu, pemain industri vape, khususnya pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin diberi tempoh 1 April sehingga 30 April 2023 untuk mendaftar aktiviti mereka kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh mengelakkan pengilang dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar.
“Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang bulan Mei 2023,” jelasnya.
Pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem MyExcise di pautan https://myexcise.customs.gov.my/myexcise/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!