Mogok doktor kontrak tetap diteruskan

Paparan di Instagram
Paparan di Instagram
A
A
A

SHAH ALAM - Mogok doktor kontrak Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mogok doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram meminta semua pihak yang menyokong gerakan yang dilakukan untuk memakai pakaian berwarna hitam.

"Bagi menyokong gerakan kami, ubah gambar profil kepada hitam atau monokrom (kelabu).

"Bukan doktor kontrak pula, sila datang kerja dengan memakai pakaian hitam. Ambil cuti sakit (MC) atau pelepasan kecemasan (EL) pada 3 hingga 5 Mac ini," katanya.

Pada Ahad, KKM mengingatkan semula mengenai peraturan melarang penjawat awam daripada menyertai perhimpunan haram susulan wujud perancangan daripada doktor kontrak untuk melakukan mogok selama tiga hari bermula Isnin.

Peringatan itu dimuat naik Unit Integriti KKM melalui laman Facebook rasmi kementerian berkenaan pada Sabtu.

Kabinet pada Sabtu bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pembentukan jawatankuasa itu beberapa hari sebelum mogok bakal dilancarkan sekumpulan doktor kontrak daripada sektor kesihatan awam.