UMNO Pahang umum pelantikan ahli sesi 2023-2026

Wan Rosdy menyampaikan surat pelantikan kepada Razali yang dilantik sebagai Setiausaha UMNO Pahang bagi Sesi 2023-2026. - Foto: FB WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy menyampaikan surat pelantikan kepada Razali yang dilantik sebagai Setiausaha UMNO Pahang bagi Sesi 2023-2026. - Foto: FB WAN ROSDY WAN ISMAIL
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah merangkap Exco Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri dilantik sebagai Setiausaha UMNO Pahang bagi Sesi 2023-2026.

Pelantikan itu diumumkan Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, pelantikan itu dipersetujui pada Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri kali pertama di sini pada Ahad.

Menurutnya, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri merangkap ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd. Soffi Abd Razak pula dilantik sebagai Bendahari UMNO Pahang.

"Turut dilantik Ketua Penerangan UMNO Pahang yang dipertanggungjawabkan kepada Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri yang juga ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal.

"Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Bahagian UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO Negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, mengiringi pelantikan pegawai dan pengerusi majlis bagi sesi 2023-2026 itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Keahlian dan Perundangan UMNO Pahang.

"Bekas Ketua Penerangan UMNO Pahang merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri dan ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dilantik Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama UMNO Negeri Pahang.

"Sementara itu, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Sekretariat Muafakat Wakil-Wakil Rakyat UMNO Negeri Pahang dan Datuk Sabariah Saidan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Negeri," jelasnya.

Beliau berkata, pelantikan itu diharapkan dapat membantu UMNO Pahang bangkit kembali, kekal relevan dan terus diyakini rakyat terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

"Saya berharap, kepimpinan yang dilantik ini akan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!