PM dirayu campur tangan elak mogok doktor kontrak
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu untuk segera menangani segala isu yang berbangkit melibatkan doktor kontrak di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, campur tangan Anwar dengan jaminan segera menyelesaikan masalah golongan itu sekali gus berkemungkinan dapat mengelakkan mogok yang dikhuatiri akan melumpuhkan operasi di hospital.
Menurutnya, Perdana Menteri perlu mendengar protes mereka bahawa wujud amalan diskriminasi dan penindasan ke atas doktor-doktor kontrak.
“Saya, Hassan Abdul Karim merayu kepada Perdana Menteri supaya segera campur tangan untuk mengelakkan seramai 10,000 doktor kontrak di seluruh negara menyertai mogok mulai esok, Isnin hingga Rabu.
“Saya juga menyeru Anwar supaya menasihati Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak mengugut doktor-doktor kontrak tersebut dengan tindakan disiplin dan tatatertib di bawah Public Officers ( Conduct and Discipline) Regulation 1993,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan tindakan mogok oleh doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan tetap diteruskan bermula Isnin hingga Rabu ini meskipun Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak.
Mengulas lanjut, Hassan yang juga Bekas Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Hak Asasi dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan berkata, hak melancarkan mogok adalah hak asasi pekerja termasuk doktor-doktor kontrak.
“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
“Doktor-doktor kontrak tersebut kecewa masalah lantikan ke jawatan tetap belum diselesaikan meskipun sudah berlanjutan selama tujuh tahun.,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!