Warga KDN diingatkan tidak kompromi isu integriti
GEORGE TOWN - Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan supaya tidak berkompromi dengan isu integriti.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu bertanggungjawab membuat pemantauan dan sentiasa mengingatkan pegawai dan kakitangan masing-masing agar sentiasa mengamalkan integriti, tidak kira dalam apa jua keadaan.
"Semua warga jabatan dan agensi KDN, ingin saya ingatkan bahawa isu integriti tidak boleh dikompromi dalam menjalankan tugas masing-masing," katanya ketika berucap dalam Majlis Rahmah Berbuka Puasa Warga KDN di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, sebagai kementerian dan jabatan barisan hadapan, beliau berharap warga KDN dapat meningkatkan lagi komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat walaupun ketika menjalani ibadah puasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!