Mogok: Doktor kontrak dari Johor tidak terlibat

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Dr Aman (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Dr Aman (kanan).
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor memberikan jaminan tidak ada mana-mana doktor kontrak dari negeri berkenaan yang bakal mengambil bahagian dalam mogok yang bakal dilancarkan oleh doktor-doktor kontrak di seluruh negara mulai esok (Isnin) sehingga Rabu.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, ketika ini keadaan masih terkawal selain turut menyaksikan tidak ada mana-mana doktor kontrak di negeri ini yang mengambil cuti secara mendadak melainkan hanya cuti biasa.

“Di Johor sekarang ni, tak berlaku apa-apa konfrontasi atau mogok daripada doktor, kita kawal dan pastikan doktor-doktor dari Johor tak ambil bahagian dalam mogok ini.

“Tapi jika di luar pengetahuan kita, kita tak dapat pastikan... kita juga dah nasihatkan semua pengarah kesihatan di daerah-daerah untuk pastikan kesemua pegawai berada di tempat kerja esok (Isnin),” katanya ketika menyertai Ops Bazar Ramadan di Plaza Angsana pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung isu doktor kontrak yang tetap dengan pendirian mereka untuk melancarkan mogok di seluruh negara mulai esok (Isnin sehingga Rabu) sebagai tanda protes terhadap isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon.

Untuk rekod, doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan tetap meneruskan rancangan untuk mengadakan mogok bermula Isnin hingga Rabu ini meskipun selepas jemaah kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak Jumaat lalu.

Tambah Aman, tindakan akan dikenakan kepada mereka (doktor kontrak) yang masih berdegil dan tetap dengan keputusan mereka menyertai mogok berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya ada mana-mana doktor kontrak yang menyertai mogok berkenaan.

“Seperti biasa, kalau berlaku kita akan ambil tindakan terhadap mereka ini. Antara tindakan yang akan diambil adalah dengan memberikan nasihat dan juga teguran...kalau ‘langgar’ juga, kita akan ambil tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Tian Soon berkata, masih ada ruang bagi pihak doktor kontrak ini untuk adakan rundingan dengan pihak kementerian berhubung isu berkenaan.

Namun pada masa sama, pihaknya juga percaya, kesemua doktor kontrak berkenaan berjiwa rakyat dan mahu membantu pesakit.

“Saya rasa kakitangan daripada jabatan kesihatan prihatin untuk perjuangkan kebajikan sendiri, tapi pada masa sama mereka ambil berat dengan kebajikan pesakit.

“Sebagai Exco kesihatan di Johor ini, saya sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan daripada doktor-doktor kontrak ini untuk ia disampaikan kepada pihak kementerian,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!