Waspada amaran gelombang panas

No Image Caption
A
A
A

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini mengeluarkan amaran cuaca panas mencapai suhu maksimum 37 darjah Celsius khususnya di daerah-daerah di Kedah selama beberapa hari bermula awal April.

Amaran terbabit melibatkan daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Sik dan Kuala Muda.

Pengarah MetMalaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, fenomena itu berlaku berikutan kesan suhu tinggi yang berlarutan daripada penghujung musim Monsun Timur Laut. Katanya, secara lazim menjelang penghujung musim monsun berkenaan, suhu di kawasan utara Semenanjung kekal agak tinggi, walaupun fasa peralihan monsun sudah bermula.

Bagi penduduk Kedah seperti penulis sendiri, kami sudah terbiasa dengan fenomena cuaca panas dan kering terutamanya pada musim kemarau.

Bagaimanapun cuaca panas ketika bulan Ramadan mungkin sedikit sebanyak memberi dugaan buat penduduk yang bekerja di luar rumah.

Cuaca panas akan menyebabkan kita lebih cepat haus terutamanya bagi mereka yang bekerja dalam sektor pertanian.

Oleh itu penduduk perlu lebih peka dengan kesihatan mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan terjadinya masalah kesihatan seperti strok haba yang boleh membawa maut.

Ini termasuklah pentingnya untuk mendapatkan jumlah air yang mencukupi supaya badan kekal terhidrat sepanjang hari, seperti cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu perlu minum sekurang-kurangnya enam gelas air sehari selepas waktu berbuka sehingga bersahur.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, suhu yang tinggi boleh memberi tekanan fizikal pada tubuh manusia. Sekiranya kes strok haba teruk, sila bergegas ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan perubatan, katanya.

Selain itu, bagi golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, penulis nasihatkan agar dapat mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Jika masih perlu berada di luar rumah, pakai pakaian yang longgar dan sesuai di samping memendekkan tempoh aktiviti supaya dapat rehat secukupnya di dalam rumah.

PENANAMAN SEMULA

Di Kedah juga ketika ini, terdapat beberapa kawasan yang masih lagi dalam kerja-kerja pembersihan sawah untuk penanaman semula.

Ini bermaksud mereka perlu melakukan pembakaran jerami untuk membersihkan sawah. Penulis cadangkan agar tangguhkan dahulu aktiviti pembakaran jerami ketika cuaca panas terik kerana api lebih cepat merebak dan sukar dikawal.

Penulis faham, pesawah mendapat kebenaran melakukan pembakaran itu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tujuan pertanian, namun kegiatan ini masih perlu diawasi.

Saban hari kita mendengar jentera bomba masuk ke kawasan sawah semata-mata untuk memadamkan kebakaran jerami yang telah merebak ke rumah penduduk.

Lebih merisaukan jika rumah itu tidak berpenghuni kerana tuan rumah keluar bekerja. Jadi seeloknya pesawah berada di sawah ketika pembakaran dan awasi api sehingga pembakaran selesai dan matikannya dengan air.

Ini penting kerana melibatkan keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan sawah padi.

Penulis sendiri pernah mengalami tragedi belukar rumah terbakar dan hampir menyebabkan rumah turut hangus yang berpunca daripada pembakaran jerami yang tidak dikawal ketika cuaca panas.

Situasi itu menimbulkan trauma kepada kami sekeluarga setiap kali tibanya musim pembakaran jerami kerana risau tragedi sama akan berulang lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri ini.

Dalam keadaan cuaca panas dan kadangkala tidak menentu di seluruh Malaysia kini, ia sedikit sebanyak memberi cabaran kepada mereka yang terpaksa mengharungi bahang panas atau menempuh hujan ribut demi mencari sesuap rezeki.

Jadi, amaran MetMalaysia dari masa ke masa harus diambil berat oleh kita semua supaya aktiviti harian dan kesihatan kita tidak terjejas.

*Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!