Apa cerita syor tutup pejabat UNHCR?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CADANGAN Majlis Keselamatan Negara (MKN) tahun lalu supaya operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini ditutup boleh dianggap wajar dan tidak keterlaluan.

Ia diusulkan selepas MKN mendapati UNHCR seolah-olah tidak menghormati pihak berkuasa tempatan dalam mengeluarkan kad agensi itu kepada pendatang asing di negara ini.

Sehingga Mac 2020, terdapat 179,521 pemegang kad UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya.

Jika melihat kepada situasi hari ini, sebahagian besar pendatang terutamaya warga Rohingya menjadikan dokumen atau kad dikeluarkan UNHCR sebagai 'lesen besar' untuk menjalankan aktiviti menjaja sayur secara haram di sekitar ibu kota.

Pendatang yang memiliki kad UNHCR ini semakin besar kepala apabila berani melanggar peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan.

Sebelum ini, bekas Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata semua pejabat UNHCR hanya akan ditutup jika Malaysia dapat mengeluarkan kad sendiri untuk digunakan pendatang dan pencari suaka yang datang ke negara ini.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus memberi jaminan kepada komuniti antarabangsa bahawa Malaysia mampu melaksanakan kerja menguruskan pelarian dengan lebih baik berbanding UNHCR.

Beliau juga menegaskan cadangan untuk menutup operasi pejabat UNHCR tidak bermaksud hubungan Malaysia dengan agensi antarabangsa itu terputus. Malah, Amerika Syarikat (AS) sendiri menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung cadangan tersebut.

Apa pun, keputusan menutup atau meneruskan operasi pejabat UNHCR di negara ini tidak akan mengubah pendirian Malaysia dari sudut perikemanusiaan.

Selama ini pun Malaysia tidak meratifikasi konvensyen berkaitan pelarian, tetapi negara ini sangat berperikemanusiaan dan sentiasa memberi bantuan sebaiknya kepada mereka.

Sebagai contoh, sejak zaman pelarian Vietnam pada 1970-an sehingga kini Malaysia masih menerima pelarian dari Myanmar, Palestin dan Syria.

Untuk rekod, Malaysia bukan pihak dalam Konvensyen PBB 1951 Berkaitan Status Pelarian.

Undang-undang tempatan juga tidak membezakan antara pendatang ekonomi tanpa izin dan pencari suaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!